Oleh: Cikgu Fatin Amirah
Kem Khalifah Muda SK Batu Muda telah dijalankan pada 6 Mac 2015 hingga 8 Mac 2015 bertempat di SK Batu Muda. Kem ini telah disertai oleh murid-murid yang memegang jawatan pengawas sekolah, pengawas pusat sumber, pengawas spbt dan sebagainya. Pendaftaran bagi Kem Khalifah Muda ini telah dijalankan sekitar pukul 2.30 petang. Peserta mendaftarkan diri dan diberikan tag nama beserta fail. Sedikit taklimat ringkas telah diberikan oleh pihak penceramah. Kemudian, peserta bergerak untuk solat Asar di dewan terbuka dan minum petang di kantin sekolah. Kem ini diteruskan lagi dengan aktiviti pecah bendungan dan pembinaan kumpulan oleh pihak fasilitator. Kemudian, peserta di beri masa untuk membersihkan diri, solat Maghrib dan Isyak berjemaah dan makan malam.Modul 1 bertajuk ‘Motivasi Diri’ dimulakan pada tepat pukul 9.00 malam. Modul tersebut dilaksanakan untuk meningkatkan motivasi diri peserta dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberikan di sekolah. Selepas tamat Modul 1, peserta bergerak ke kantin sekolah untuk minum malam. Kemudian, peserta diberi masa untuk merehatkan diri di tempat yang telah disediakan. Peserta telah dikejutkan kembali pada pukul 2.00 pagi untuk LDK 1 iaitu ‘Jejak Bertapak’. Aktiviti ini mengkehendaki peserta untuk berjalan di tengah malam dengan memegang tali yang telah disediakan secara berkumpulan.
Pada pukul 5.30 pagi, peserta telah dikejutkan dan melakukan persiapan diri, solat Subuh serta kuliah Subuh. Senaman pagi pula dijalankan sekitar pukul 7.00 pagi yang dikendalikan oleh pihak fasilitator. Seterusnya, peserta bergerak untuk sarapan pagi yang disediakan di kantin sekolah. Modul 2 yang bertajuk ‘Aku Khalifah Hebat’ pula diteruskan oleh penceramah yang telah ditetapkan. Modul ini membincangkan bagaimana peserta ingin menjadi seorang khalifah atau ketua yang hebat di sekolah. Setelah tamat modul ini, peserta dibenarkan untuk minum pagi. LDK 2 iaitu ‘Ya Tuan, Tidak Tuan’ pula diteruskan. Peserta diajar dan dilatih untuk kawad asas. Sesi ini juga turut membuka ruang untuk meningkatkan keyakinan peserta untuk menjadi ketua kawad yang baik. Sesi LDK ini tamat pada pukul 12.30 tengahari untuk member ruang kepada peserta untuk makan tengahari serta solatZohor
Seterusnya Kem Khalifah Muda diteruskan lagi dengan aktiviti Kembara Minda yang telah berlangsung dari pukul 2.00 petang hingga 4.30 petang. Aktiviti ini diadakan bagi menguji semangat berkumpulan dan kerjasama para peserta. Ahli kumpulan perlu sentiasa berbincang dan mendengar dan mengikut arahan daripada ketua kumpulan masing-masing. Sebagai contoh, setiap kumpulan perlu membentangkan sehelai kain dan diletakkan sebiji cawan plastik yg dipenuhi air di atas kain tersebut. Para ahli kumpulan perlu mengangkat kain secara perlahan-lahan tanpa menumpahkan cawan plastik tersebut. Di sini dapat dilihat kumpulan yang bekerjasama dengan baik telah dapat mengendalikan cabaran tersebut dengan jayanya
Program pada petang tersebut diteruskan dengan aktiviti riadah. Para peserta perlu berada di dalam barisan dan melakukan senaman ringan yang diketuai oleh fasilitator. Wajah mereka juga turut dicalit dengan pewarna yang menyerupai celoreng tentera. Acara kemuncak ialah apabila semua peserta dikehendaki meniarap di atas dataran perhimpunan sambil dihujani air daripada pili bomba yang dipegang oleh fasilitator. Beberapa mercun bola juga telah dibaling dan menyerupai suasana ketika berada di medan perang. Selain itu, lagu patriotik turut dipasang bagi menyemarakkan semangat para peserta. Semua peserta telah berjaya melalui aktiviti ini dan menunjukkan semangat yang jitu.
Program pada waktu malam diteruskan dengan Modul 3 yang bertajuk “Ranjau Sepanjang Malam”. Aktiviti ini agak menarik kerana melibatkan nyanyian yang penuh bersemangat serta persembahan daripada setiap kumpulan. Para peserta turut membuat beberapa pergerakan menarik sejajar dengan nyanyian. Tepat pukul 11.30 malam, program Kem Khalifah diteruskan dengan aktiviti “Burung Hantu.” Mata semua peserta ditutup dengan kain yang diikat pada kepala. Peserta-peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan perlu memegang tali atau bahu rakan mereka. Mereka dibawa ke dataran perhimpunan dan gelanggang sepak takraw. Para fasilitator mengasingkan setiap peserta dan meletakkan mereka di setiap lokasi yang berlainan. Tujuan utama aktiviti Burung Hantu ini adalah untuk menguji keberanian para peserta. Oleh itu, pelbagai bunyi serta bermacam-macam aksi telah dilaksanakan oleh fasilitator-fasilitator. Sebagai contoh, menutup pintu kelas dengan kuat, memasang suara yang menyeramkan, membuat pergerakan tapak kaki, mencuit para peserta dan lain-lain. Hampir separuh daripada para peserta menangis serta yang paling teruk ialah sehingga ada yang menjerit-jerit. Namun, terdapat juga peserta yang berani yang langsung tidak menghiraukan gangguan-gangguan tersebut walaupun pelbagai gangguan telah dilakukan terhadap mereka. Aktiviti burung hantu tamat pada kira-kira pukul 1.15 pagi.
Pada hari yang terakhir, seperti pagi yang sebelumnya, semua peserta dikejutkan pada pukul 5.30 pagi untuk menyiapkan diri dan solat Subuh berjemaah. Kemudian, mereka melakukan senaman pagi yang diketuai oleh fasilitator seterusnya bersarapan pagi. Bengkel terakhir dijalankan tepat pukul 8.00 pagi. Sejurus tamat bengkel, semua peserta dikehendaki mengemaskan tempat perkhemahan dan kemudian berkumpul di dewan bagi acara majlis penutup yang dirasmikan oleh Guru Besar SK Batu Muda iaitu Puan Tuan Kamariah bt Nik Sin. Anugerah yang diberi kepada para peserta yang terlibat dengan Kem Khalifah Muda ini ialah Anugerah Kumpulan Terbaik serta Anugerah Peserta Lelaki dan Perempuan Terbaik. Acara seterusnya ialah penyampaian hadiah kepada fasilitator dan acara bersalaman antara para fasilitator dengan para peserta. Majlis bersurai pada pukul 1.30 tengahari.
0 ulasan :
Catat Ulasan